Thursday, March 22, 2007

-gasing Tanjung



Ciri-ciri:
Bentuk: Tinggi dan
berembang
Berat: 0.6 kg
Lilitan: 30 cm
Tinggi: 10 cm

Gasing Tanjung sama fungsinya dengan gasing toyol. Gasing jenis ini dimainkan oleh pemain gasing dari Muar, Johor. Ia fungsinya sebagai gasing pengacau dan untuk memangkah. Di negeri Selangor, gasing ini dinamakan gasing labu lemak. Gasing ini diperbuat daripada kayu keranji, kempas, cengal dan merbau.

-gasing Jantung



Ciri-ciri:
Bentuk: Jantung
Berat: 0.25 kg
Lilitan: 20 cm
Tinggi: 12 cm

Gasing jenis ini biasanya terdapat di negeri Kelantan, Kedah, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak. Ada juga pemain yang menamakannya sebagai gasing lundu. Jenis kayu yang digunakan untuk membuat gasing ini yang akan membezakan negeri asal gasing ini. Umpamanya, di Kelantan gasing ini menggunakan kayu merbau, manakala pemain negeri lain menggunakan kayu seperti kayu melawis, mengaris dan sepetir.

-gasing Baba



Ciri-ciri:
Bentuk: Tinggi dan seperti
telur
Berat: 0.6 kg
Lilitan: 38 cm
Tinggi: 20 cm

Gasing yang beridentiti wang seringgit ini juga merupakan gasing yang biasa digunakan oleh pemain Baba. Gasing ini banyak terdapat di Kelantan, Pahang, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor. Pada asasnya gasing ini berbentuk telur.

-gasing Kuno



Ciri-ciri:
Bentuk: Sederhana dan
berembang
Berat: 0.6 kg
Lilitan: 30 cm
Tinggi: 8 cm

Gasing ini juga terdapat di Kelantan selain Terenggganu, Pahang, Kedah, Selangor dan Johor. Gasing ini merupakan reka bentuk lama yang diperbaiki daripada bentuk berembang. Biasanya ia hanya digunakan untuk memangkah dan diperbuat daripada kayu merbau, ru, meranti dan keranji.

-gasing Uri



Ciri-ciri:
Bentuk: Rendah dan agak
leper
Berat: 6 kg
Lilitan: 60 cm
Tinggi: 8 cm

Gasing ini amat terkenal di negeri Kelantan. Badan asasnya kecil sahaja dililiti dengan simpai. Gasing ini disimpai dengan menggunakan timah, besi atau plumbum. Jika simpai ini diperbuat daripada timah, ia digunakan untuk memusing dan jika simpainya besi ia digunakan untuk memangkah. Gasing ini kecil tetapi berat.

-gasing Leper Kelantan


Ciri-ciri:
Bentuk: Rendah dan juga
leper
Berat: 8 kg
Lilitan: 48 cm
Tinggi: 6 cm

Jenis ini hanya terdapat di Kelantan dan dimainkan oleh segelintir pemain tradisional. Gasing ini berat dan itulah sebabnya ia mampu berpusing ligat dan lama. Simpaian gasing ini meliputi 60% berat asal gasing ini. Sehingga kini ia masih dimainkan dan banyak terdapat dalam pasaran, tetapi harganya terlalu mahal.

Cara bermain

CARA BERMAIN PERMAINAN GASING
Kaedah bermain gasing dahulu dan sekarang tidak banyak perbezaannya. Sebelum tahun 1970, permainan gasing di Malaysia tidak teratur dan berlainan antara satu daerah dengan daerah yang lain. Pelbagai bentuk, saiz dan kegunaan gasing membezakan sifat gasing dan membentuk sistem permainan yang turut berbeza.
Dalam permainan gasing, semua pemain mesti mempunyai kemahiran memusing, memangkah, mengangkat, menegak dan membela uri gasing. Dalam permainan gasing langkah - langkah yang paling ada bagi setiap pemain untuk bermain gasing ialah:-
1. Melilit Tali
2. Melilit Gasing
3. Memusing Gasing
4. Memangkah Gasing
5. Mengangkat Gasing

Melilit Tali
Terdapat 2 cara untuk melilit tali iaitu dengan cara melilit di lengan atau melilit di jari kelingking. Kedua - dua kaedah ini penting sebelum memulakan permainan kerana tali yang kemas dan tidak terlalu panjang akan menghasilkan pusingan gasing yang baik. Cara yang pertama dipakai dengan memasukkan pergelangan tali ke dalam lengan pemain dan cecincin iaitu hujung tali yang diikat membulat akan menjadi penyimpul hidup. Ini akan memudahkan pemain kerana apabila ditarik ia tidak mudah terurai. Pusingan tali pada lengan pula bergantung kepada pemain sama ada dililit pada tangan kanan atau tangan kiri. Pusingan lilitan bergantung kepada pemain untuk memastikan pemain selesa dengan llilitan tali tersebut. Lilitan tali biasanya dilakukan sendiri manakala bagi pemain gasing uri Kelantan mereka tidak melilit tali sendiri, tetapi lilitan dibuat oleh orang lain dan setelah kemas barulah pemain mengambilnya.
-Rajah menunjukkan cara memasukkan cecincin pangkal tali gasing ke jari kelingking
-Rajah menunjukkan cara tali dililit pada pangkal tali gasing di pergelangan tangan
Kaedah yang kedua pula dilakukan dengan membuat lilitan pada jari kelingking pemain. Pemilihan jari kelingking sama ada sebelah kanan atau kiri bergantung pemain. Cecincin pada hujung tali akan dimasukkan pada jari kelingking oleh pemain seterusnya tali tadi akan dililit pada tapak tangan. Biasanya cara ini banyak dilakukan oleh pemain yang telah berusia kerana dengan cara ini tali akan menjadi lebih panjang dan menghasilkan cengkaman yang lebih kuat pada gasing. Untuk memudahkan lilitan pada leher gasing, pemain perlu melilitkan kesemua tali di lengan dengan meninggalkan beberapa sentimeter untuk memudahkan pemain mengesan kelembapan, kelembutan dan ketegangan tali. Selepas balingan gasing dibuat, tali akan dililit pada lengan atau tapak tangan sehingga habis bagi memudahkan tugas mengankat atau menegak uri.

Melilit Gasing
Terdapat dua cara melilit pada gasing yang biasa diamalkan, iaitu melilit pada lengan dahulu kemudian barulah dililit disekeliling gasing. Cara lain adalah seperti yang diamalkan oleh pemain gasing tradidional iaitu melilit gasing dengan mengikat pada pokok kayu supaya lilitan menjadi lebih kemas bagi menghasilkan pusingan yang lama. Semua gasing yang akan dililit hendaklah dipastikan bahu, labu dan pataknya supaya dalam keadaan rata, jika keadaan labu tidak rata, kerja meratakannya haruslah dilakukan dengan mengikir, mengetuk atau menggosok dengan kertas kaca. Bagi menghasilakan cengkaman yang kuat biasanya pemain gasing akan menyapu kanji dibahagian bahu gasing.

Ibu jari tangan kiri menekan rambu tali gasing pada leher gasing

Cara melilit tali pada gasing lilitan ketiga


Cara memegang gasing sebelum dililit dengan tali

Lilitan permulaan bagi gasing

Lilitan separuh bahu gasing

Lilitan gasing penuh
Untuk melilit, gasing mestilah dipegang dengan tangan kiri dan tangan kanan pula bersedia untuk melilit. Ibu jari kiri digunakan untuk menekan rambu pada leher gasing. Lilitan tali pada gasing adalah melawan arah pusingan jam dan tali hendaklah ditarik dengan ketat dan kuat. Lilitan kedua dan ketiga hendaklah dilakukan seperti lilitan pertama. Lilitan berikutnya pula hendaklah sentiasa mencecah ke bahu gasing untuk mendapatkan lilitan yang kemas, padat dan sejat. Semasa melilit, pastikan yang tali tidak bertindih atau bersilang. Jika ini berlaku, gasing akan borot dan membahayakan semua orang.
Memusing Gasing
Terdapat berbagai - bagai gaya dalam memusing gasing, memusing mengikut cara yang betul akan menghasilkan pusingan yang tegak, kuat, ligat dan tetap. Untuk menghasilkan pusingan seperti ini, langkah yang disusun hendaklah mengikut cara yang betul supaya gasing tidak jatuh mengiring, meleret atau borot. Umumnya terdapat dua jenis pusingan yang biasa diamalkan, iaitu pusingan sorong tarik dan pusingan sentap.
Untuk pusingan sorong tarik, gasing hendaklah dipegang secara mengiring dan dihayun ke belakang. Serentak dengan itu mata mestilah tertumpu ke arah sasaran di hadapan. Kedudukan gasing hendaklah sentiasa mengiring semasa gerakan ini. Semasa menghayun, gasing mestilah dalam kedudukan mengiring sehingga gasing tiba di hadapan, barulah gasing ditegakkan sebelum dilepaskan. Kedudukan badan mestilah rendah dan kaki berada tidak jauh dari sasaran yang hendak dipusingkan. Hayunan tangan pemain hendaklah mengikut hayunan gasing dan badan membongkok kira-kira 45 darjah. Pusingan gaya ini agak rendah dan dekat Gambarajah di bawah ditunjukkan cara melakukan teknik pusingan sorong tarik.
Langkah awal pemain semasa hendak memusingkan gasing mengikut cara pusing sorong tarik
Gasing dihayunkan dengan kedudukan kira-kira 45 darjah daripada kaki kiri
Gasing terus dihayunkan untuk dicampakkan
Bagi pusingan sentap(rujuk gambarajah di bawah), gaya pusingan ini menghasilkan pusingan yang tegak, ligat dan kuat. Pemain memegang gasing dengan kedudukan tegak, iaitu kepala gasing menghala ke atas dan diangkat tinggi. Kedudukan tangan kira-kira 30 darjah dari paras lengan. Tangan dihayunkan ke arah sasaran dengan kedudukan gasing tegak sehinggalah tiba ke hadapan, sebelum dilepaskan. Setelah gasing terpacak ke bumi, sedikit sentapan dikenakan dan pastikan ia berada dalam keadaan tegak. Jika tidak gasing akan meliuk dan pusingan akan menjadi kurang ligat.
Gasing diangkat paras bahu sebelum dilepaskan
Memangkah Gasing
Memangkah adalah satu gerakan yang penting dalam permainan gasing. Tumpuan, perhatian dan hayunan hendaklah tepat mengenai sasaran supaya gasing akan menghasilkan uri yang ligat, tegak dan kuat. Tedapat empat gaya pangkahan yang biasa digunakan oleh pemain dalam apa juga pertandingan, iaitu pangkah totok, pangkah hentak, pangkah layang dan pangkah tebang.
Cara melakukan pangkah totok. Pangkah dilakukan dari jarak dekat supaya mengenai sasaran.
Gasing dilepaskan ke arah lawan dengan cara pangkah totok.
Pangkah totok.
Pangkahan dilakukan dari jarak dekat dan pemain perlu membongkokkan badan. Kemudian gasing mestilah di aras bahu dan siku, separas pula dengan bahu pemangkah. Sasarannya pula ialah pada bahagian labu, kepala atau bahu gasing. Pangkahan ini bertujuan untuk menghalakan gasing lawan keluar dari gelanggang. Jika menggunakan gasing yang agak berat, pangkahan jenis ini kurang sesuai. Gasing yang berbentuk tinggi adalah sesuai dengan jenis pangkahan ini.

Pangkah hentak
Untuk melakukan pangkah hentak, badan pemangkah mestilah tegak. Tangan pula diletakkan tegak atas kepala dengan memegang gasing secara tegak. Gasing dihayun tegak serta kuat ke arah sasaran. Hayunan ini akan dilepaskan ke sisi kiri atau kanan pemangkah. Sasarannya ialah pada kepala, labu atau bahu gasing. Jika tepat mengenai sasaran, kesannya amat ketara kerana ia boleh memecahkan gasing lawan. Sebab itulah dalam latihan biasa pangkahan ini tidak digalakkan. Jenis gasing yang sesuai untuk melakukan pangkah hentak ialah gasing berembang dan gasing leper. Pangkahan ini bertujuan mematikan dan merosakkan gasing lawan.

Kaedah melakukan pangkah hentak. Kedudukan gasing yang tinggi memberikan kekuatan pada gasing untuk menghentak gasing lawan.
Pangkah layang
Kedudukan tubuh pemangkah mestilah tegak. Tangan pula hendaklah tegak di atas kepala dengan memegang gasing secara tegak. Gasing dihayunkan ke arah sasaran dengan kuat, cepat dan kencang. Pangkahan ini selalunya menghasilkan pusingan yang ligat dan terus keluar dari sasaran selepas memangkah. Sasaran pangkahan jenis ini ialah bahagian bahu, labu, kepala atau tengkuk gasing.

Gasing dipegang lebih tinggi dari paras kepala apabila hendak melakukan pangkah layang
Pemain mengimbangkan badan untuk melakukan pangkah layang
Gasing pemangkah ditujukan pada bahu gasing pemusing

Kaedah melakukan pangkah terbang;badan dibongkokkan sedikit dan gasing dihayun ke belakang pada paras bahu.
Pemain menggunakan cara pangkah tebang untuk memangkah labu gasing pemusing.
Pangkah tebang
Pangkahan ini bertujuan mengeluarkan gasing lawan jauh dari sasaran dan ia juga merupakan pangkahan jarak jauh. Untuk menghasilkan pangkahan yang kuat, kedudukan pangkah mestilah tegak. Gasing pemangkah akan mengenai labu gasing lawan serentak dengan paksinya mencecah ke bumi. Gasing yang paling sesuai untuk tujuan ini ialah gasing lipat kajang, gasing tanjung dan gasing concord kerana sifatnya yang berat dan pepat.


Mengangkat Gasing
Setelah gasing dipusingkan atau dipangkah, ia perlu pula diangkat ke tapak uri yang sesuai untuk menjamin keligatannya agar terus terpelihara. Mengangkat gasing memerlukan kemahiran, kesabaran dan kecekapan yang tinggi.
Sebelum gasing diangkat, pemain mestilah terlebih dahulu menentukan liuk arah pusingan dan kedudukan gasing. Menentukan liuk bermakna mencari liuk atau kedudukan pusingan terendah bahagian patak dengan bumi. Bahagian terendah inilah yang akan diangkat. Arah pusingan perlu ditentukan untuk disesuaikan dengan arah pusingan badan ketika membawa gasing. Mengangkat gasing dilakukan dengan menggunakan tali dan cokok. Cokok digunakan untuk gasing yang berbentuk leper dan berat. Kedudukan gasing semasa hendak diangkat hendaklah berada dakam keadaan tegak kerana jika kedudukannya mengiring ia akan menjejaskan keligatan gasing. Tali yang digunakan untuk mengangkat gasing mestilah tegang dan ketika mengangkat patak akan dielakkan dari tersentuh tali kerana ini akan mengurangkan keligatan pusingan gasing.

Cara membuat gasing

Kayu yang paling sesuai dari spesis merbau, seperti merbau tanduk, merbau darah, merbau johol dan merbau keradah, ianya mudah dilarik tetapi tidak mudah serpih. Selain itu kayu leban tanduk, limau, bakau, koran, sepan, penaga, keranji juga menjadi pilihan. Jenis kayu yang mudah didapati seperti manggis, jambu batu, ciku atau asam jawa sering digunakan untuk membuat gasing.Kayu tersebut dilarik menggunakan alat pelarik, mengikut saiz dan bentuk gasing yang telah ditetapkan. Sebelum kerja melarik dimulakan besi paksi dibenamkan ke dalam kayu tersebut agar keseimbangan dari segi bulatnya dapat dilakukan ketika melarik.Setelah gasing disiapkan maka kerja-kerja terakhir dilakukan, seperti melilitkan timah pada kepak gasing tadi agar menambah berat lagi gasing itu hingga seberat lima kilogram dan juga tak mudah serpih. Untuk menambah indah rupa parasnya maka tanduk kerbau dipasangkan dibahagian kepala gasing serta dikilatkan dengan varnis. Ini terdapat pada gasing leper atau untuk gasing uri sahaja.

Jenis-jenis gasing

Jenis gasing yang terdapat di Malaysia termasuk gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang.

Sejarah



SEJARAH PERMAINAN GASING
Asal-usul
Unsur seni dan permainan adalah keperluan asas kehidupan manusia di dunia dan tidak mungkin dapat dipisahkan daripada kehidupan masyarakat. Masyarakat Melayu tradisional juga tidak ketinggalan dalam soal ini. Dalam menjalankan aktiviti kehidupan sara diri mereka telah mengisi masa lapang dengan pelbagai kegiatan yang dapat menghiburkan hati. Antara kegiatan yang dilakukan ialah bermain gasing............(sambungan)

Perkembangan Permainan gasing
Permainan gasing di Malaysia bukanlah perkara baru tetapi ia telah dimainkan sejak sebelum perang dunia lagi. Kini mula diminati kembali oleh pencinta seni warisan yang berusaha memperkenalkannya di kalangan masyarakat. Pada dasarnya pelbagai jenis permainan gasing boleh didapati di seluruh Malaysia............(sambungan)

Permainan gasing Masa Kini
Kini permainan gasing tidak begitu mendapat tempat seperti permainan lain yang diperkenalkan oleh penjajah. Pemain dan peminat permainan gasing mula memikirkan cara untuk menyebarkan permainan ini secara meluas dan menyeluruh..........(sambungan)

Gasing


Gasing merupakan sejenis permainan tradisional yang begitu popular pada suatu ketika dahulu. Kepenatan membanting tulang dalam mencari rezeki menyebabkan orang Melayu dahulu mencari alternatif untuk bergembira tanpa mengeluarkan belanja yang besar dan menggunakan bahan terbuang. Ini telah menimbulkan idea kepada masyarakat Melayu untuk mencipta permainan gasing yang diperbuat daripada saki baki kayu yang terbuang. Pelbagai faedah boleh didapati daripada permainan gasing ini. Selain dijadikan sebagai hiburan dan juga memanfaatkan bahan terbuang, permainan gasing juga dapat mengembangkan idea-idea masyarakat Melayu, dan ini terbukti dengan kemunculan pelbagai bentuk gasing serta teknik permainan. Permainan gasing juga dapat menyerikan lagi rumah tradisional Melayu kerana gelanggang permainan gasing kebiasaannya dibina di halaman rumah dan di bawah pohon yang rendang yang meredupkan gelanggang. Permainan gasing bagi orang Melayu juga mengukur tahap kemahiran dan kepantasan seseorang dalam menghadapi sesuatu situasi. Kemahiran dan kebolehan ini diaplikasi secara sistematik dalam gelanggang gasing. Kepantasan dan ketepatan amat jelas dalam permainan gasing dan ia juga memupuk semangat kekitaan yang tinggi. Permainan gasing harus terus dimainkan oleh generasi muda sekarang sebagai langkah mengekalkan daya kreatif bangsa Melayu mencipta permainan berasaskan serpihan kayu. Jika usaha gigih diteruskan pasti suatu ketika nanti gasing akan menjadi permainan yang digemari. Pemulihan permainan ini diharap dapat memaparkan kepada umum tentang warisan bangsa Melayu yang telah dilupakan agar terus berkekalan.

MUKADDIMAH

Pengenalan:
Permainan merupakan satu aktiviti rekreasi sama ada untuk mendapat keseronokan, mengisi masa lapang ataupun bersenam. ia boleh dilakukan berseorangan ataupun secara berkumpulan.
Permainan biasanya mempunyai peraturan yang perlu diikuti semua orang. Adat bermain, ada yang menang dan ada yang kalah. Boleh juga seri. Permainan yang melibatkan aktiviti fizikal biasanya dipanggil sukan.
Permainan boleh dibahagikan kepada beberapa jenis:
Permainan berasaskan kemahiran
Permainan berasaskan strategi
Permainan berasaskan nasib
Sesetengah permainan pula menggabungkan dua atau tiga elemen di atas.
Contoh-contoh permainan ialah:

Permainan Scrabble
Catur dan dam
Congkak
Daun terup
Gasing
Guli
Kapal terbang kertas
Layang-layang
Tarik tali
Yo-yo
Ada juga permainan yang berasaskan komputer seperti:
Chrono Trigger
Minesweeper
Pac-Man
Tekken